''Hatiku sanggup mati ditolak insani namun bukan Ilahi. Jiwaku sanggup kosong tanpa kasih insani namu bukan Ilahi. Marilah kita bersama-sama menggapai kasih Ilahi''.

Thursday 15 December 2011

Aku, Lelaki dan Cinta ..

Jika Pemilik cinta diketepikan, peminjam cinta dijulang-julang, bagaimana kita dapat berasa bahagia?


  Sudah 15 tahun saat itu berlalu. Hari ini aku termangu sendirian. Ternyata suamiku Azim tidak sehebat yang aku angankan. Dia tak mampu memberiku kebahagiaan. Pujuk rayu dan sifat penyayangnya hakis demi hari. Pejabatnya lebih penting daripadaku. Kereta yang sering ditukar ganti terasa sebagai isteri keduanya.
  Aku rasa seperti bermadu dengan kereta. Azim mengambil berat apabila keretanya tercalar tetapi apabila hatiku terluka dia buat tak tahu. Aku tidak lebih dari hanya seorang pengasuh anak-anak kami. Setiap kali aku membuka mulut ingin meluahkan perasaan dan ingin mengingatkan kembali harapan-harapan yang kami pernah sulam sebelum berkahwin, Azim dengan suara tinggi berkata "Apa lagi ni.. apa lagi yang tak cukup?". Dan aku akan menangis sepanjang hari. Aku makan hati. Aku rasa seperti pengemis cinta kepada orang yang sepatutnya memberi cintanya kepadaku dengan hati terbuka.

Orang ketiga

  Kali ini aku hampir hilang pertimbangan. Azim menjauh dariku apabila mendapat panggilan telefon. Dia tidak mahu aku mendengar apa yang dibualkan. Biasanya panggilan begini, dia akan berada di luar rumah lama-lama sambil berbual. Mesra gayanya dan kengkadang ketawa seperti ada yang menggelikan hati. Suatu hari Ahad, Azim keletihan dan tertidur. Aku mengambil peluang memeriksa telefon bimbitnya - perkara yang tidak pernah aku lakukan sebelum ini.
  Aku mendail nombor yang catatan masa perbualannya lama dan paling banyak dalam log senarai dipanggil. "Sayang, you kata hari ini nak rehat. Kenapa call. Rindu lah tu'. Mesra dan manja sekali suara perempuan yang mengangkat telefon. Telefon bimbit terlepas dari tangan dan kakiku menjadi lembik lalu terduduk. Ternyata ada wanita lain dalam hidup Azmi. Hari Isnin berikutnya, selepas menghantar anak ke sekolah, aku memecut keretaku tanpa tujuan pasti. Aku tersedar apabila ternampak kawasan rehat dan rawat ( R&R) di hadapan. Aku meletakkan kereta berdekatan dengan surau. Aku menapak ke surau dengan longlai dan duduk bersandar. Aku menangis lagi.

Kakak di R&R

"Dik, kenapa ni?" 
  Aku disapa oleh seseorang. Orang itu duduk di sebelahku memaut bahuku. 
"Sedih ya?"
  Suara yang penuh prihatin itu membuatku tersentuh. Aku tiba-tiba rasa ingin memeluknya. Dia menepuk-nepuk belakangku.
"Menangislah puas-puas. Lepas tu ceritakan pada akak apa yang berlaku".
  Aku terus menangis sehingga aku rasa lega. Kuluahkan segalanya. Dia mendengar penuh perhatian. Untuk sekian lama aku merasakan ada orang sudi mendengar luahan hatiku. 
"Jadi, Ina mengharapkan suami dapat memberikan kebahagiaan dan cinta".
"Ya kak, dia segala-galanya bagi saya".
"Bagaimana mungkin, Ina. Suami Ina, atau mana-mana manusia tidak mungkin mampu memberikan kebahagiaan dan cinta. Untuk dirinya sendiri pun dia mengharapkannya dari orang lain".
"Kenapa kakak cakap macam begitu? Kakak bukan kenal dengan suami saya".
"Kakak tak kenal suami Ina. Tapi tidak banyak bezanya dia dengan orang orang lain. Kenapa dia juga mengharapkan kebahagiaan itu diberi oleh orang lain. Dia pun tak dapat bahagiakan diri sendiri, kenapa Ina letakkan seluruh harapan kepada dia? Soal material mungkin dia boleh berikan. Tapi soal bahagia dan cinta adalah soal hati".
"Habis, saya tidak akan bahagia dengan suami saya?"
"Boleh. Tapi mintalah bahagia itu daripada Pemilik cinta dan bahagia".
"Maksud akak ?"
"Ina, cuba jawab soalan akak. Di mana Ina letakkan Allah dalam pencarian Ina? Selama ini, suami atau Allah yang lebih Ina utamakan? Jika Pemilik cinta diketepikan, peminjam cinta dijulang-julang, bagaimana kita dapat berasa bahagia? Hati kita milik Allah, Ina. Ambillah cinta dan bahagia dari sumbernya yang asal, insyaAllah kita takkan kecewa".
  Perbualan dengan kakak di R&R berlangsung lama.
"Apabila Allah mencintai seseorang hamba, maka Allah berseru kepada Jibril : "Sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka cintailah dia". Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril berseru kepada penghuni langit : "Sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka kalian cintalaih dia". Penghuni langit pun mencintainya. Kemudian ditanamkanlah cinta penghuni Bumi kepadanya". 
  Maksud hadis yang kakak ceritakan ini katanya riwayat Bukhari, meresap jauh ke dalam hatiku. Aku berasa semakin tenang. Terasa seperti air yang dingin menyirami hati. Kakak juga membekalkanku doa Nabi Daud a.s tentang cinta. Katanya doa ini disebut dalam hadis riwayat Tirmizi.
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat menghantarku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku".
  Aku tak pasti adakah aku akan mampu melakukan semua nasihat kakak di surau R&R. Yang penting aku mendapat satu perspektif baru yang lebih bertapak di bumi nyata tentang cinta.

Memohon keampuanan

"Yang penting buat dulu, apabila kita berbuat, kita akan dapat pengalaman. Pengalaman akan membawa kepada keyakinan. Apabila hati telah yakin, cabaran dalam hidup tidak akan melemahkan kita".
  Itu pesan kakak R&R. Lagipun apa pilihan yang aku ada? Aku masuk semula dalam kereta. Wajah anak-anak tergambar di fikiranku. Kebaikan Azim terhadapku mengisi fikiran warasku. Aku mengulang-ulang doa mohon perlindungan  dari syaitan Wathin yang tugasnya menghasut orang yang sedang dilanda ujian. Aku berlindung dengan Allah dari syaitan Wathin yang terkutuk.
  Jauh di sudut hati paling dalam, aku mengakui belum mampu memaafkan Azim sepenuhnya tetapi aku menyimpan harapan untuk memohon kekuatan dari Allah. Jodoh pertemuan, ajal maut adalah urusan Allah. Apa yang Dia izinkan berlaku pasti akan berlaku dan apa yang tidak dengan izinNya tidak akan berlaku.
 Allah lah yang menggerakkan hatinya untuk memandu ke R&R , di luar akal sedarku, selamat tanpa sebarang kemalangan. Rupanya Dia ingin mempertemukan aku dengan seseorang yang membuat aku melihat kehidupan ini dari sudut pandang yang lain.
  Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim.. izinkan aku mengenalMu. Tuhanku adalah Ar-Rahman, Ar-Rahim. Pemilik hakiki cinta dan kasih sayang yang selama ini aku harapkan dari makhluk bergelar lelaki dan suami. Dengan belas ihsanMu ya Allah, kuatkan hatiku dengan kudratMu untuk memulakan arah cinta yang abadi dan murni. Urusan utamaku adalah dengan Mu ya Allah, bukan dengan lelaki yang juga lemah seperti aku.

HABIS ! :)
Tak tahu lah ape yang dimengarutkan kat atas ni, kan. Haha. Banyak dah melalot tuh, tapi takpe janji ada motif yang jelas. Ape ? Lebihkan cinta Allah daripada manusia. Yes! correct, correct. Sepuluh markah untuk anda! Haaa, semoga kita antara mereka yang lebihkan cinta Allah daripada manusia. Okay? :D









 

No comments:

Post a Comment